
Bekas Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis, telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.
Menurut Napsiah, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira semangat dan perjuangan para pemimpin wanita terdahulu seperti Datin Fatimah Hashim dan F.R. Bhupalan.
“Keputusan ini diambil setelah berbincang dengan rakan-rakan dan mendapat restu daripada keluarga. Saya sedar akan cabaran besar yang menanti, namun saya yakin dapat memberikan pilihan kepada anggota KEADILAN dari sayap Wanita.
“Saya juga percaya dapat memberikan sumbangan yang mampu mengangkat perjuangan wanita ke tahap yang lebih baik dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini menyaksikan Napsiah sekali lagi akan bersaing dengan penyandang jawatan, Juwairiya Zulkifli, yang sebelum ini telah mengumumkan hasrat untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Pada pemilihan tahun 2022, Juwairiya berjaya menewaskan Napsiah dan seorang lagi calon, Faizah Ariffin, dalam pertandingan tiga penjuru. Dalam pemilihan tersebut, Juwairiya memperoleh 17,743 undi, manakala Napsiah dan Faizah masing-masing meraih 14,282 dan 11,071 undi.
Dalam kenyataan yang sama, Napsiah turut menegaskan bahawa sejak kecil, beliau telah diasuh untuk bekerja keras demi menyumbang kepada masyarakat dan negara.
“Asuhan inilah yang menjadi motivasi saya untuk terus berbakti kepada masyarakat. Ia juga menjadi cita-cita dan impian saya untuk mengangkat martabat kaum wanita di negara ini sebagai kesinambungan perjuangan pemimpin wanita terdahulu yang telah membina asas yang kukuh sejak sebelum merdeka dan di awal era kemerdekaan.
“Nikmat kemerdekaan serta pembangunan pesat yang kita kecapi hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sumbangan kaum wanita,” ujarnya.
Napsiah menegaskan bahawa beliau komited untuk memberikan yang terbaik dalam usaha memperkukuhkan perjuangan wanita dalam parti serta memastikan suara wanita terus diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi dan bermaruah.