Da Nang, Vietnam, 9 April 2025 – Malaysia Tourism Agency Association (MATA) dan Da Nang Tourism Association (DATA) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) penting dalam usaha memperkukuh kerjasama pelancongan serantau. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung bersempena Persidangan ASEAN Connect yang diadakan di Da Nang, Vietnam.

MoU ini menandakan komitmen baharu kedua-dua pihak dalam memajukan kerjasama dua hala, khususnya dalam aspek promosi pelancongan, pembangunan produk, latihan sumber manusia serta pelaksanaan kempen promosi bersama. Kerjasama ini juga dilihat amat bertepatan dengan persiapan menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang semakin hampir.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Presiden MATA, Dato’ Seri Dr. Haji Mohd Khalid Harun dan Pengerusi DATA, Encik Cao Tri Dung, dalam satu sesi khas yang memberi tumpuan kepada promosi dan kerjasama pelancongan serantau.

“MoU ini membuktikan visi bersama kami untuk mewujudkan landskap pelancongan ASEAN yang lebih terhubung, dinamik dan berdaya tahan. Malaysia kini bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, dan kerjasama dengan destinasi serantau seperti Da Nang adalah amat penting,” ujar Dato’ Seri Dr. Khalid Harun.

Encik Cao Tri Dung pula menegaskan harapan untuk mewujudkan pengalaman pelancongan rentas sempadan yang lebih menarik dan berdaya saing, selain memperluas capaian pasaran serta memperkukuh hubungan antara komuniti pelancongan kedua-dua negara.

Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Vietnam, TYT Dato’ Tan Yang Thai dan Duta Besar Filipina ke Vietnam, TYT Meynardo LB. Montealegre. Kedua-dua diplomat tersebut menekankan peri pentingnya kerjasama pelbagai hala dalam usaha memulihkan industri pelancongan pasca pandemik serta dalam memacu pembangunan mampan.

Selain perjanjian bersama MATA, DATA juga memeterai perjanjian berasingan dengan Calabarzon Alliance of Independent Tour Operators (CAITO) dari Filipina. Ini mencerminkan aspirasi Da Nang untuk muncul sebagai pusat pelancongan utama di rantau ASEAN.

Persidangan ASEAN Connect kali ini yang bertemakan “Peluang Memperkukuh Kerjasama antara Da Nang dan Rakan-Rakan ASEAN”, berfungsi sebagai platform diplomasi bandar-ke-bandar, promosi perdagangan, serta pengukuhan jaringan kerjasama pelancongan serantau.

Langkah ini sekali gus menggariskan peranan penting persatuan pelancongan dalam memperkukuh integrasi pelancongan ASEAN serta memupuk hubungan antara rakyat di negara-negara serantau. -KL Broadcast