Gombak, 11 April 2025 – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak, Husaini Yunos, secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon Ketua AMK Gombak yang baharu, Abdul Haris Harahap.

Dalam satu majlis moreh bersama anak muda Gombak, Husaini menyatakan keyakinannya terhadap barisan kepimpinan baharu yang diketuai oleh Abdul Haris, yang menurutnya berpotensi tinggi untuk meneruskan legasi perjuangan AMK di kawasan itu.

“Kepercayaan ini bukan hanya pada individu, tetapi kepada satu pasukan yang membawa iltizam serta semangat reformasi yang telah sekian lama menjadi tunjang perjuangan sejak 1999,” kata Husaini.

Calon Ketua AMK Gombak, Abdul Haris Harahap, turut menyuarakan komitmennya untuk memperkukuh hubungan dengan akar umbi dan memperkasakan peranan anak muda dalam masyarakat. Beliau menyifatkan Gombak sebagai “nadi gerakan perubahan” sejak era awal reformasi.

“Kita mahu Gombak terus menjadi model politik progresif, matang dan inklusif,” katanya.

Barisan kepimpinan yang diketengahkan turut merangkumi Hayee Zailani sebagai calon Timbalan Ketua dan Danial Amsyar sebagai calon Naib Ketua. Gandingan ini digambarkan sebagai ideal, menggabungkan pengalaman, semangat akar umbi serta idealisme segar anak muda.

Mengangkat tema “Penerus Legasi, Harapan Gombak”, barisan calon ini menyeru seluruh anggota AMK Gombak untuk memberi sokongan padu bagi memastikan kesinambungan perjuangan yang berpaksikan nilai keadilan dan reformasi.

Mereka juga menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dalam menerajui Kerajaan Perpaduan MADANI. -KL Broadcast