KUALA LUMPUR– Nama pelakon Janna Nick sekali lagi menjadi perhatian apabila tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi yang mengaitkannya dengan isu melibatkan aktres muda, Puteri Balqis.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Janna atau Nurul Jannah Muner, 31, mengakui kesilapannya kerana terlalu terbuka memberi pandangan mengenai hal berkaitan individu lain sehingga mencetuskan salah faham dan perasaan tidak senang.
Menurut isteri kepada Dini Schatzmann itu, insiden tersebut menjadi pengajaran besar buat dirinya untuk lebih berhati-hati dalam setiap tutur kata, khususnya di media sosial.
“Saya mengaku silap dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Mulai hari ini, saya memilih untuk lebih berdiam diri agar tidak lagi menyakiti hati sesiapa tanpa sedar,” tulisnya.
Janna turut menegaskan dia tidak menutup pintu terhadap kritikan, malah mengalu-alukan teguran sekiranya tersasar pada masa akan datang.
“Jika saya tersilap langkah, tegurlah saya. Saya terima dengan hati terbuka kerana semua ini mendewasakan,” tambahnya lagi.
Kontroversi tercetus selepas Janna didakwa cuba masuk campur dalam kemelut melibatkan Puteri Balqis dan Mia Sara Nasuha, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Keadaan menjadi semakin panas apabila Puteri Balqis tampil membuat pendedahan mengejutkan dengan mendakwa pernah menerima layanan dingin daripada Janna sewaktu terlibat dalam satu penggambaran sebelum ini.
Rentetan pendedahan tersebut, Janna dilaporkan bersedia untuk bersemuka secara maya bersama Puteri Balqis demi merungkai kekusutan yang tercetus. -KL Broadcast