SEMENYIH, SELANGOR – Hampir dua dekad mengukuhkan nama dalam industri perkahwinan dan acara, Kamalinda Events & Weddings terus melakar sejarah tersendiri dengan pelancaran dewan terbaharu mereka, British Vogue by Kamalinda, yang juga merupakan dewan ke-10 milik jenama tersebut.
Ditubuhkan pada tahun 2005, Kamalinda Events & Weddings telah melalui pelbagai cabaran sepanjang 20 tahun operasinya, termasuk tempoh getir ketika pandemik dan pasca pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada industri acara dan perkahwinan.
Namun, berbekalkan semangat juang dan komitmen tinggi, syarikat ini berjaya bangkit serta terus berkembang, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penyedia dewan dan perkhidmatan perkahwinan pilihan utama di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.
Sehingga kini, Kamalinda Events & Weddings memiliki sembilan dewan eksklusif yang direka dengan pelbagai tema dan konsep unik, kebanyakannya diinspirasikan daripada filem-filem antarabangsa terkenal.
Antara dewan yang ditawarkan ialah Victoria, Kingsman, Fairy-Fairy, Secret Garden, Wednesday dan Niqah yang terletak di Utopolis, Glenmarie Shah Alam, selain Aurora dan Santorini di Bandar Digital i-City, Shah Alam, serta Rich Asians Hall di Setia EcoHill Walk, Semenyih.
Mengangkat konsep majalah fesyen ikonik dunia, British Vogue by Kamalinda tampil dengan rekaan dalaman yang elegan, moden dan eksklusif, serta mampu menampung sehingga 430 orang tetamu pada satu-satu masa.
Dewan ini menampilkan perincian dekorasi yang halus dan artistik, lengkap dengan suasana romantik yang direka untuk memberikan pengalaman majlis perkahwinan yang mewah dan berprestij. Bahagian luar dewan pula dilengkapi dengan ruang santai berkonsepkan Venice, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada para tetamu.
Menurut pihak pengurusan, pembukaan dewan terbaharu ini adalah bagi memenuhi permintaan pelanggan di sekitar Semenyih, Seremban, Kajang, Bangi, Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran, dengan tawaran pakej “All-In” yang menyeluruh dan berbaloi, tanpa menjejaskan elemen eksklusiviti.
Kamalinda Events & Weddings menegaskan komitmen mereka untuk terus mengekalkan integriti jenama serta kualiti perkhidmatan, bermula daripada peringkat perancangan sehingga ke hari berlangsungnya majlis.
Pelancaran British Vogue by Kamalinda dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting syarikat tersebut dalam usaha menyediakan ruang majlis yang bukan sahaja indah dari segi visual, malah mampu mencipta kenangan bermakna buat setiap pasangan pengantin. -KL Broadcast