PUTRAJAYA – Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang diuruskan Kementerian Luar berjaya mengumpul RM113 juta setakat ini, dengan RM86 juta daripadanya telah disalurkan bagi membantu rakyat Palestin terjejas konflik di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dana tersebut diagihkan kepada pelbagai organisasi kemanusiaan antarabangsa dan tempatan bagi memastikan bantuan sampai terus kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, antara penerima bantuan termasuk agensi di bawah United Nations, International Committee of the Red Cross serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di Gaza, Jordan dan Mesir.

“Alhamdulillah saya mengucapkan banyak terima kasih kepada semua badan-badan GLC, GLIC dan juga badan-badan korporat yang sentiasa saja bermurah hati untuk bersama-sama menyertai usaha Kerajaan Malaysia untuk kita terus membantu kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan penderitaan yang mereka alami yang telah lama, sejak
berpuluh-puluh tahun itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Tabung Amanah Kemanusiaan Palestin di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Wisma Putra hari ini. -Bernama