PUTRAJAYA, 5 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat oleh Chai Jin Shern, atau James Chai, yang cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan agensi itu.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, beberapa dakwaan yang dibuat oleh individu berkenaan adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dijalankan.

Menurut SPRM, sidang media yang dirujuk oleh James Chai merupakan sidang media bulanan yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.

Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya, kes e-waste haram yang melibatkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM Corporation Berhad, serta Op Godfather berkaitan kes Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.

Sehubungan itu, SPRM menegaskan dakwaan bahawa sidang media berkenaan diadakan khusus untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas.

Dalam kenyataan sama, SPRM menjelaskan bahawa pengeluaran Notis Mengesan Individu atau Saksi merupakan prosedur siasatan standard yang turut digunakan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan.

Notis itu hanya dikeluarkan selepas pelbagai usaha dibuat untuk menghubungi individu terbabit gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui serta kaedah lain yang munasabah.

SPRM menegaskan bahawa notis mengesan bukanlah satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan, sebaliknya hanya langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Menurut SPRM, dalam siasatan berkenaan seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemuanya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memaklumkan pegawai penyiasat telah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi James Chai yang dikesan berada di United Kingdom sebelum notis tersebut dikeluarkan.

Sejak 24 Februari lalu, pegawai penyiasat cuba menghubungi beliau melalui aplikasi WhatsApp, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Malah, selepas beberapa percubaan dibuat, nombor pegawai penyiasat itu dilaporkan telah disekat oleh talian milik James Chai pada 26 Februari lalu.

Justeru, SPRM menegaskan dakwaan bahawa pihaknya tidak cuba menghubungi individu berkenaan sebelum mengeluarkan notis adalah tidak benar.

SPRM turut menegaskan bahawa Suruhanjaya itu sentiasa berpegang kepada prinsip “presumption of innocence” iaitu seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Menurutnya, mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak semestinya bersalah, namun mereka wajar memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

SPRM juga menegaskan bahawa tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang dan siasatan akan terus dijalankan secara profesional, bebas serta berasaskan bukti.