KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan had kelayakan penggunaan BUDI95 secara sementara daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April ini. Langkah ini diambil bagi memastikan subsidi bahan api terus memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat sebagai pendekatan bersasar berikutan ketidaktentuan harga minyak dunia serta impak konflik di Asia Barat terhadap bekalan dan ekonomi global.
Menurut beliau, perubahan itu tidak akan memberi kesan besar kepada kebanyakan pengguna kerana data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
“Penilaian mendapati purata penggunaan adalah sekitar 100 liter sebulan, dan hampir 90 peratus rakyat berada di bawah paras 200 liter, jadi mereka tidak terjejas,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan menetapkan had baharu 200 liter sebulan bagi BUDI95 bermula 1 April 2026, sebagai langkah sementara sehingga keadaan pasaran minyak dan ekonomi dunia kembali stabil.
Dalam masa sama, beliau menegaskan harga BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter. Selain itu, had maksimum penggunaan sehingga 800 liter bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig juga tidak berubah, mengambil kira keperluan pekerjaan mereka.