KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) membantah keras cadangan penempatan semula ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad ke Menara 2 Sentral milik Tenaga Nasional Berhad.

Menurut kesatuan itu, maklumat yang diterima menunjukkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sedang merancang memindahkan kira-kira 478 kakitangan ibu pejabat ke premis berkenaan. RUM menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak wajar kerana mengabaikan nilai sejarah serta identiti bangunan asal KTMB yang telah wujud sejak 1905.

Presiden RUM, Muhammad Faizal Shahibul Kiraya berkata, pemindahan itu seolah-olah memaksa KTMB meninggalkan bangunan miliknya sendiri dan menjadi penyewa di lokasi lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan organisasi dan pekerja.

Sehubungan itu, kesatuan menuntut agar ibu pejabat KTMB dikekalkan di bangunan sedia ada, atau kerajaan dan RAC menyediakan bangunan baharu khusus untuk pentadbiran utama KTMB.

RUM turut memberi amaran akan mengambil tindakan perusahaan mengikut undang-undang sekiranya cadangan tersebut diteruskan tanpa mengambil kira kepentingan sejarah, imej dan kestabilan organisasi.

Kesatuan itu juga menggesa kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan barisan kabinet, meneliti bantahan berkenaan secara serius demi menjaga kebajikan pekerja serta memelihara warisan industri rel negara. -KL Broadcast