KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias, menegaskan bahawa penggunaan MyKad milik orang lain, termasuk ahli keluarga untuk membeli petrol bersubsidi (BUDI95) adalah tidak dibenarkan.
Memetik laporan New Straits Times, beliau menjelaskan bahawa MyKad ialah dokumen pengenalan diri rasmi yang tidak boleh digunakan, dipegang atau diwakili oleh individu lain.
“Larangan ini selaras dengan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang menetapkan bahawa penggunaan atau pemilikan kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sehubungan itu, semua urusan di kaunter, termasuk pembelian bahan api, mesti dilakukan sendiri oleh pemilik MyKad yang sah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak meminjamkan atau menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang.
Kenyataan tersebut dibuat susulan pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai penahanan seorang lelaki yang dipercayai menggunakan empat kad pengenalan untuk membeli lebih 100 liter petrol RON95.