KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan hukuman mati terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap pesalah, termasuk mengenakan pertuduhan lebih berat jika melibatkan kematian. 

Menurut beliau, pesalah masih boleh didakwa di bawah peruntukan lain seperti Seksyen 302 Kanun Keseksaan sekiranya kes itu memenuhi elemen jenayah lebih serius.

Tambahan pula, hukuman mati mandatori telah dimansuhkan, sekali gus menjadikan cadangan tersebut tidak relevan untuk dipertimbangkan pada masa ini. 

Sebaliknya, kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh undang-undang sedia ada, termasuk cadangan pindaan yang memberi penekanan kepada kebajikan mangsa. Antaranya ialah memastikan pesalah bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa selain dikenakan hukuman penjara dan denda. 

Langkah ini dilihat sebagai pendekatan yang lebih praktikal dan berfokus, bukan sahaja untuk menghukum pesalah tetapi juga membantu meringankan beban keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut. -KL Broadcast