KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Axia yang terlibat dalam kes langgar lari hingga mencederakan anggota trafik di Jalan Sultan Yahya Petra dikenal pasti sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor yang menghidap skizofrenia dan sedang menerima rawatan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, suspek berusia 40 tahun itu kini bercuti sakit dan dalam proses persaraan.

Dia ditahan selepas dikejar polis dari Jalan Cheras ke Chan Sow Lin pada Isnin selepas cuba melarikan diri secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan.

Ujian alkohol didapati negatif dan siasatan masih dijalankan, manakala setakat ini tujuh laporan polis telah dibuat. Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kanun Keseksaan.

Pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif. Suspek turut akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan.

Setakat ini, tujuh pemilik kenderaan telah tampil membuat laporan polis, melibatkan lima kenderaan awam serta masing-masing sebuah MPV polis dan motosikal milik anggota.

Orang ramai yang terlibat atau mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan di balai polis trafik berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 10.47 malam Jumaat, mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, sedang mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning sebelum dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan terbabit.