KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong, menyifatkan kenyataan ahli DAP, Prof Tajuddin Rasdi, yang melabel Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai “perkauman” kerana menolak kerjasama politik dengan DAP sebagai tidak adil dan mengelirukan.

Menurut beliau, penolakan terhadap kerjasama dengan sesebuah parti politik tidak boleh disamakan dengan penolakan terhadap mana-mana kaum.

“DAP ialah sebuah parti politik, bukannya wakil mutlak kepada mana-mana kaum. Menolak kerjasama dengan DAP tidak bermaksud menolak masyarakat Cina, India atau mana-mana kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Neow berkata, tanggapan bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak masyarakat Cina merupakan satu pemikiran yang dangkal dan berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman.

Beliau turut mempertikaikan perbandingan yang dibuat oleh Tajuddin antara pendirian Onn Hafiz dengan Rundingan Damai Baling, sambil menegaskan bahawa rundingan bersejarah itu bertujuan menamatkan ancaman keselamatan negara dan konflik bersenjata, bukannya membentuk kerajaan atau menjalinkan kerjasama politik dalam sistem demokrasi.

“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” katanya.

Menurut Neow, dalam sebuah demokrasi, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan rakan politik berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Beliau mendakwa sejarah politik DAP menunjukkan bahawa pihak yang sehaluan dengan parti itu sering dipuji, manakala mereka yang memilih pendirian berbeza akan berdepan pelbagai label dan serangan politik.

“Apabila Onn Hafiz menyatakan pendirian politiknya secara terbuka, beliau pula dituduh sebagai perkauman. Namun rakyat semakin matang dan mampu menilai corak politik seperti ini,” katanya.

Neow berkata, Onn Hafiz diiktiraf ramai sebagai pemimpin pelapis yang progresif, sederhana dan bertanggungjawab serta berhak menentukan pendirian politik yang diyakininya terbaik untuk Johor.

Katanya, Menteri Besar Johor itu juga tidak pernah melihat rakyat negeri berkenaan melalui lensa perkauman yang sempit, sebaliknya mengangkat semangat Bangsa Johor yang menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

Dalam pada itu, beliau menggesa Tajuddin yang juga ahli DAP sejak 2012 supaya melakukan muhasabah terhadap partinya sendiri, termasuk berhubung isu-isu yang pernah membabitkan kepimpinan dan ahli parti.

“Perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam demokrasi. Namun budaya melabel pihak yang tidak sehaluan sebagai perkauman tanpa asas yang kukuh hanya akan merosakkan wacana politik negara dan memburukkan lagi polarisasi masyarakat,” katanya.

Mengakhiri kenyataannya, Neow berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merapatkan jurang, membina persefahaman dan menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih stabil, makmur dan harmoni. -KL Broadcast