PUTRAJAYA – Kerajaan memberi amaran bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan lesen dan permit tempatan oleh warga asing, termasuk penggunaan visa pelajar atau visa pelawat untuk menjalankan aktiviti perniagaan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang menyalahgunakan lesen atau permit yang dikeluarkan kepada rakyat tempatan, termasuk pemindahan atau penguasaan oleh warga asing sehingga menjejaskan peluang ekonomi penduduk tempatan.
“Bahaya ini perlu dihentikan. Lesen dan permit tempatan tidak boleh disalahgunakan. Jika didapati berlaku pelanggaran, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil serta Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Menurut Anwar, terdapat kes yang menunjukkan syarikat yang asalnya dimiliki rakyat tempatan telah beralih kepada penguasaan pihak asing selepas dijual, sekali gus memberi kesan kepada ekosistem perniagaan tempatan dan mengehadkan peluang usahawan tempatan.
Beliau menegaskan kerajaan tidak mahu sektor ekonomi negara termasuk hotel, restoran, agensi pelancongan dan pemilikan kenderaan dikuasai pihak luar sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.
“Kerajaan mengambil pendirian tegas dalam hal ini, tidak boleh berlaku penguasaan seperti itu,” katanya.
Anwar turut mengingatkan semua pengusaha, peniaga serta pemain industri berkaitan supaya mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen atau permit.
Beliau juga menegaskan bahawa semua warga asing yang memasuki Malaysia perlu mematuhi syarat visa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar.