JAKARTA- Indonesia meluluskan peraturan baharu yang memberi laluan kepada anggota polis yang masih berkhidmat untuk menyandang jawatan dalam pelbagai agensi kerajaan tanpa perlu meninggalkan kerjaya mereka dalam pasukan keselamatan itu.
Memetik laporan Detik.com, keputusan yang mendapat persetujuan Parlimen semalam itu dilihat sebagai satu lagi langkah memperkukuh penglibatan institusi keselamatan dalam pentadbiran negara selepas pindaan undang-undang ketenteraan diperkenalkan tahun lalu.
Di bawah peruntukan baharu berkenaan, pegawai polis boleh ditempatkan di kementerian atau badan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan undang-undang.
Malah, mereka turut berpeluang menggalas tugas dalam agensi tertentu sekiranya kemahiran atau pengalaman yang dimiliki dianggap perlu bagi membantu pelaksanaan dasar kerajaan.
Pentadbiran Presiden Prabowo Subianto sejak kebelakangan ini dilihat semakin memberi ruang kepada pegawai daripada pasukan keselamatan untuk memainkan peranan dalam sektor awam. Beberapa tokoh kanan tentera dan polis juga telah diberikan tanggungjawab penting dalam kerajaan.
Menurut wakil Parlimen yang terlibat dalam perbahasan rang undang-undang itu, keupayaan dan kepakaran anggota polis merupakan antara faktor utama yang mendorong kerajaan mengekalkan mereka dalam perkhidmatan walaupun memegang jawatan di luar organisasi polis.
Kerajaan berpendapat pendekatan tersebut mampu meningkatkan kecekapan pentadbiran selain memastikan pengalaman anggota penguat kuasa dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
Menteri Undang-Undang, Supratman Andi Agtas, berkata perubahan itu dibuat bagi menyesuaikan kerangka perundangan negara dengan keperluan semasa, sekali gus membolehkan pasukan polis menjalankan fungsi mereka secara lebih efektif dalam suasana yang semakin mencabar.