RAUB – Penemuan seekor ikan pemangsa di Empangan Klau baru-baru ini disahkan mempunyai ciri morfologi yang konsisten dengan kumpulan ikan pirana, Pygocentrus.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun spesies sebenar ikan itu masih belum dapat dikenal pasti secara muktamad kerana spesimen berkenaan tidak lagi tersedia untuk pemeriksaan.

Menurutnya, ikan terbabit dilaporkan telah mati sebelum dibuang oleh individu yang menangkapnya.

Katanya, setakat ini hanya satu tangkapan ikan yang dipercayai pirana dilaporkan di kawasan berkenaan.

“Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September 2026 juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, penemuan ikan yang didakwa menyerupai pirana di empangan berkenaan tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Siasatan mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lalu sebelum rakamannya dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp.

Tangkapan lain pada hari berkenaan terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.

Adnan berkata, berdasarkan bukti dan data yang diperoleh setakat ini, belum ada petunjuk menunjukkan wujudnya populasi pirana yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak melepaskan semula ke dalam air mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing.

“Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.

“Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading