KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu antarabangsa, Jason Mraz, bakal menemui peminat Malaysia sekali lagi menerusi konsert jelajah Asianya yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Kehadiran semula penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu pastinya menjadi berita gembira buat peminat tempatan yang sudah lama menantikan persembahan langsungnya selepas kali terakhir beraksi di negara ini tujuh tahun lalu.

Konsert yang dibawakan oleh Zues Event itu dijangka menawarkan pengalaman istimewa dengan gabungan muzik berkualiti, suasana santai dan mesej positif yang sering menjadi identiti Jason Mraz sepanjang karier seninya.

Menurut Pengarah Zues Event, Jeffery Chin, pemilihan Jason Mraz dibuat kerana karya-karyanya terus mendapat tempat di hati pendengar pelbagai generasi. Lagu-lagu yang dibawakan bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan nilai positif dan kejujuran yang dekat dengan peminat.

Artis yang popular menerusi lagu hit seperti “I’m Yours”, “I Won’t Give Up” dan “Lucky” itu dijangka mempersembahkan rangkaian lagu kegemaran ramai sepanjang malam konsert tersebut.

Selain persembahan muzik yang dinanti-nantikan, penganjur turut merancang pelbagai elemen visual menarik termasuk pertunjukan dron dan efek khas yang bakal memeriahkan suasana, sekali gus menjadikan konsert itu sebagai antara acara muzik antarabangsa yang paling dinantikan pada tahun 2026.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Jason Mraz secara langsung boleh mendapatkan tiket bermula Khamis, 11 Jun menerusi platform etix.my. Jualan akan dibuka pada jam 10.50 pagi.

Pihak penganjur memaklumkan bahawa semua tiket yang ditawarkan adalah dalam kategori tempat duduk bagi memberikan keselesaan kepada penonton sepanjang konsert berlangsung.

Tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu Jazzy (RM688), Acoustic (RM588), Soulful (RM488), Originals (RM388), Nostalgic (RM288) dan Signature – Restricted View (RM158). -KL Broadcast