JOHOR BAHRU – Jawatankuasa Pemilihan Calon (JPC) Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah menamatkan proses penilaian serta sesi temu duga bagi calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah JPC MUDA, Leben Siddharth memaklumkan bahawa pemilihan tersebut dijalankan bagi memastikan setiap individu yang dicadangkan memenuhi kriteria parti termasuk aspek integriti, tahap komitmen, kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya, kemampuan kepimpinan serta kesetiaan terhadap prinsip dan perjuangan MUDA.

Menurutnya, sepanjang sesi temu duga, calon-calon dinilai secara menyeluruh melibatkan ideologi politik, disiplin parti, keupayaan mengurus tekanan, kefahaman terhadap dasar serta tadbir urus, selain pemerhatian terhadap personaliti dan nilai integriti mereka, katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pihak JPC berpuas hati dengan keseluruhan kualiti calon yang telah melalui proses tersebut dan yakin mereka berupaya membawa suara serta aspirasi rakyat selaras dengan prinsip perjuangan parti.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap politik berintegriti, semua calon yang dipilih turut diwajibkan menandatangani Aku Janji Calon serta Perjanjian Anti Lompat Parti, selain membuat pengisytiharan aset mengikut ketetapan parti bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Leben turut menjelaskan bahawa senarai calon yang dikemukakan mencerminkan usaha MUDA dalam mengetengahkan kepimpinan yang pelbagai, inklusif dan mewakili masyarakat majmuk di negara ini.

Senarai tersebut kini telah diserahkan kepada kepimpinan parti untuk penilaian dan kelulusan akhir mengikut prosedur dalaman yang ditetapkan. MUDA menegaskan bahawa rakyat memerlukan wakil rakyat yang bukan sahaja mampu menang pilihan raya, tetapi juga memiliki integriti, keberanian serta komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat.