PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab atas kenyataan berunsur fitnah terhadap Lim Guan Eng, namun jumlah pampasan yang perlu dibayar telah dikurangkan daripada RM1.35 juta kepada RM450,000.

Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan bahawa dapatan Mahkamah Tinggi adalah tepat dan tiada alasan untuk mengubah keputusan bahawa tiga kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin bersifat memfitnah, lapor Utusan Malaysia.

Walau bagaimanapun, mahkamah berpendapat jumlah ganti rugi yang diberikan sebelum ini terlalu tinggi dan wajar disemak semula.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan rayuan silang Guan Eng dengan menetapkan faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi bermula dari tarikh penghakiman sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya. Muhyiddin juga diperintahkan membayar kos rayuan sebanyak RM35,000.

Kes ini berpunca daripada tiga kenyataan yang dimuat naik pada Mac 2023 berkaitan isu pengecualian cukai sebuah yayasan kebajikan, yang didakwa telah menjejaskan reputasi Guan Eng.

Ahli Parlimen DAP itu memfailkan saman terhadap Muhyiddin selepas mendakwa kenyataan itu memberi gambaran beliau menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti terhadap Yayasan Albukhary.