KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 premis bersama peralatan perniagaan milik warga asing telah dikenakan tindakan sitaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, DBKL memaklumkan operasi tersebut tertumpu kepada pemeriksaan aktiviti perniagaan melibatkan penjualan barangan keperluan harian, produk runcit, hasil basah, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dijalankan tanpa permit atau lesen sah.
Hasil pemeriksaan, pihak berkuasa mengeluarkan empat kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen, selain melaksanakan 13 tindakan sitaan serta pemindahan barangan.
Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan peniaga warga asing termasuk mereka yang menggunakan kad pelarian yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan diri.
Semua barang dan kelengkapan yang dirampas telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod, dokumentasi serta proses tindakan lanjut mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Pasar (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.
DBKL menegaskan bahawa pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi aktiviti perniagaan tanpa lesen.
Pada masa sama, orang ramai disaran untuk menyalurkan maklumat atau membuat aduan kepada pihak DBKL bagi membantu membanteras kegiatan perniagaan yang melanggar syarat serta peraturan yang berkuat kuasa.