PORT DICKSON – Kerajaan kini giat menjalankan proses pendataan menyeluruh terhadap semua pelarian yang berada di Malaysia susulan jangkaan jumlah sebenar golongan itu melebihi angka yang direkodkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, inisiatif tersebut melibatkan semua pelarian tanpa mengira sama ada mereka memiliki kad pengenalan pelarian UNHCR atau sebaliknya.
Menurut beliau, kerajaan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada statistik yang disediakan oleh UNHCR kerana terdapat kemungkinan masih ramai pelarian yang berada di negara ini belum berdaftar dengan agensi antarabangsa berkenaan.
“Kita sedang melaksanakan usaha untuk merekodkan setiap pelarian yang berada di Malaysia, termasuk mereka yang tidak mempunyai kad UNHCR.
“Kami percaya jumlah sebenar mereka mungkin lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan sebelum ini, justeru proses pendaftaran ini penting bagi mendapatkan data yang lebih tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 di Akademi Imigresen Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Zakaria memaklumkan bahawa rekod semasa UNHCR menunjukkan lebih 200,000 pelarian berdaftar berada di Malaysia, melibatkan pemegang kad pelarian dari lebih 140 buah negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa program pendaftaran yang diselaraskan kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini berada dalam fasa pertama pelaksanaan dan dijangka diteruskan sehingga penghujung tahun ini bagi memastikan maklumat yang lebih lengkap dapat dikumpulkan.


Leave a Reply