KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menekankan bahawa kejayaan umat Islam hanya mampu direalisasikan apabila Islam diberi kedudukan sebagai sistem pemerintahan yang berkuasa serta memimpin pentadbiran sesebuah negara.

Dalam perutusan sempena Maal Hijrah yang bertemakan Hijrah Kemenangan Islam Berdaulat (Berkuasa Politik) menerusi satu kenyataan, beliau menjelaskan bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap dan merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, termasuk urusan kenegaraan dan pentadbiran.

Menurut beliau, peristiwa hijrah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, sebaliknya menjadi titik permulaan pembentukan sebuah negara yang berpaksikan keadilan, kesejahteraan rakyat, perundangan serta panduan wahyu.

Beliau berkata, ajaran Islam menuntut pelaksanaannya secara menyeluruh dalam setiap bidang kehidupan termasuk pemerintahan, politik dan hubungan kemasyarakatan.

Abdul Hadi turut menyatakan bahawa negara Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW menjadi contoh terbaik dalam menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, selain membuktikan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama mampu hidup secara harmoni di bawah sistem pemerintahan yang adil.

Dalam pada itu, beliau menyentuh situasi semasa dunia Islam dengan merujuk kepada kebangkitan gerakan Islam di beberapa wilayah termasuk Iran dan Palestin.

Katanya, usaha untuk melemahkan umat Islam melalui perbezaan mazhab dan sentimen perkauman masih digunakan oleh pihak yang tidak senang dengan kebangkitan Islam.

Beliau juga berpandangan bahawa kerjasama antara kuasa Barat, Zionis dan sekutu mereka dalam menentang negara serta gerakan Islam mempunyai persamaan dengan pakatan Ahzab yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Tambahnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang kebangkitan umat Islam, sejarah menunjukkan bahawa pakatan seumpama itu akhirnya tidak berjaya mencapai matlamat mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam supaya terus memperkukuhkan perpaduan, memperdalamkan pemahaman terhadap agama serta meneruskan usaha memperkasakan Islam dalam semua aspek kehidupan, termasuk dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara. -KL Broacast