KUALA LUMPUR: Sebuah bangunan yang dijadikan penempatan warga asing berhampiran Pasar Pudu diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Kutip awal pagi tadi, yang menyaksikan seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Semasa operasi dijalankan, beberapa warga asing dipercayai cuba meloloskan diri serta bersembunyi bagi mengelakkan daripada ditahan. Namun, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menggagalkan usaha mereka sebelum kesemua suspek diberkas.

JIM Kuala Lumpur memaklumkan operasi yang bermula pada jam 12.05 tengah malam itu melibatkan 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hasil pemeriksaan ke atas 320 warga asing, seramai 186 individu ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut JIM, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 118 lelaki ditahan. Ia diikuti 28 warga Indonesia yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.

Turut ditahan ialah 26 warga Myanmar membabitkan 13 lelaki dan 13 wanita, lima warga Vietnam terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita.

Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, selain melanggar Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke depot imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.