KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar yang didakwa bertindak mendesak Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN supaya menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam gabungan tersebut.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat secara tergesa-gesa sedangkan beberapa isu berkaitan undang-undang dan pentadbiran masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, keadaan dalaman PN ketika ini juga masih belum stabil susulan konflik antara parti komponen, termasuk keputusan Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Dalam situasi masalah dalaman yang belum selesai, kemasukan parti baharu yang dikaitkan dengan bekas ahli Bersatu yang pernah dipecat hanya akan menambah ketegangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mempersoalkan status permohonan PCM yang dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang didakwa menggunakan jawatan Setiausaha Agung parti tersebut walaupun semakan menunjukkan berlaku perbezaan struktur kepimpinan bagi sesi 2026–2027.

Tambahnya, terdapat juga kekeliruan apabila dokumen dikemukakan menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan asal adalah atas nama Parti Cinta Malaysia, selain status pertukaran nama dan kepimpinan belum mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ahmad Faizal turut mendedahkan bahawa semakan mendapati Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) sebelum ini mengeluarkan surat pada 22 Jun yang menyatakan beberapa dokumen yang dihantar oleh Setiausaha Agung PN adalah tidak lengkap serta tidak ditandatangani.

Sehubungan itu, RoS dilaporkan meminta PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Pada Isnin, Ahmad Samsuri mengumumkan bahawa PN menerima kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PCM sebagai ahli baharu gabungan berkenaan selepas mesyuarat yang turut dihadiri wakil Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading