JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon, hari ini membuat satu laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, yang didakwa mengandungi kenyataan tidak benar membabitkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Institusi Diraja Johor.

Menurut Ling, laporan itu dibuat susulan dakwaan Mohd Puad bahawa Onn Hafiz pernah memaklumkan kepadanya pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat atas “arahan” pihak Istana, selain mendakwa UMNO Johor dikawal oleh Institusi Diraja.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan telah dinafikan secara terbuka oleh Onn Hafiz menerusi kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini.

Ling menjelaskan, berdasarkan penjelasan Menteri Besar Johor, pembubaran Dewan Negeri Johor dilaksanakan mengikut proses yang diperuntukkan di bawah Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Katanya, proses tersebut melibatkan Menteri Besar menghadap dan mempersembahkan cadangan pembubaran kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor sebelum memperoleh titah perkenan, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Johor.

“Titah perkenan tersebut merupakan proses yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan tidak boleh ditafsirkan sebagai arahan atau campur tangan politik,” katanya.

Sehubungan itu, Ling berpandangan bahawa kenyataan Mohd Puad yang menggambarkan seolah-olah Institusi Diraja mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor atau mencampuri urusan politik UMNO Johor merupakan dakwaan yang serius, mengelirukan serta berpotensi mewujudkan persepsi negatif terhadap Institusi Raja Berperlembagaan di Johor.

Beliau turut memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kesalahan di sisi undang-undang.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading