KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan gabungan itu akan memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas proses rundingan kerusi diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi gabungan.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau telah menandatangani watikah pelantikan calon-calon PN dan menzahirkan keyakinan bahawa semua parti komponen akan memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.
Menurutnya, PN menekankan kepentingan menawarkan kepimpinan berintegriti serta dasar yang membela rakyat demi kesejahteraan Johor.
Beliau turut mengakui mengambil maklum kenyataan oleh Naib Presiden BERSATU berhubung beberapa perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini.
“PN adalah gabungan yang bergerak berasaskan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama. Setiap parti anggota mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan, namun apabila keputusan telah dibuat secara rasmi, semua pihak perlu menghormatinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri turut menegaskan bahawa PN tidak boleh dijadikan platform untuk mana-mana parti menerima keputusan yang selari dengan pendirian mereka sahaja, sebaliknya semua ketetapan mesti dihormati.
Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan membangkitkan isu dalaman gabungan di ruang awam selepas mesyuarat berakhir.
Mengenai penggunaan simbol PN dalam PRN Johor, beliau menegaskan bahawa ia datang bersama tanggungjawab penuh termasuk pemilihan calon, gerak kerja kempen dan prestasi kerusi yang ditandingi. -KL Broadcast


Leave a Reply