KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai hidup sebagai gelandangan selepas disyaki membaling seketul bata ke arah sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan kerosakan dalam kejadian di Hotel Kingston Jalan Hang Lekiu, di sini.
Insiden yang berlaku sekitar jam 11.57 malam pada Selasa itu berlaku di hadapan sebuah hotel sebelum suspek berjaya diberkas tidak lama kemudian dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nuzulan Mohd. Din berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu kini direman selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Jun bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan seketul bata untuk membaling ke arah kenderaan PDRM sehingga mengakibatkan kerosakan pada kenderaan berkenaan.
Beliau berkata, hasil siasatan turut mendapati suspek merupakan warga asing dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan. Bagaimanapun, motif sebenar tindakannya masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Leave a Reply