KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjana pendapatan sendiri melalui penganjuran latihan, kursus serta program berkaitan hak asasi manusia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, cadangan tersebut bertujuan memperkukuhkan kedudukan kewangan Suhakam supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan yang disalurkan kerajaan.
Menurut beliau, Akta 597 pada masa ini tidak memberi kuasa kepada Suhakam untuk mengenakan bayaran atau fi terhadap program latihan yang dianjurkan bagi menampung kos pelaksanaannya.
Katanya, sebarang cadangan pindaan akan dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira pematuhan terhadap Prinsip-prinsip Paris selain memastikan ia selaras dengan peranan dan tanggungjawab Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat mengenai hasrat kerajaan untuk meminda Akta 597 bagi membolehkan Suhakam memperoleh sumber pendapatan tambahan menerusi latihan, kursus dan program berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Kulasegaran memaklumkan kerajaan turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan menaikkan kadar elaun anggota Suhakam.
Beliau mengakui kadar elaun sedia ada masih belum setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul oleh anggota suruhanjaya berkenaan dan memaklumkan perkara itu sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan bagi mempertimbangkan penambahbaikan yang bersesuaian.


Leave a Reply