KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang dipercayai warga asing membuang air kecil di eskalator sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial pada Rabu.
Video tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, its.danishafiq, yang mendakwa insiden berkenaan berlaku di Stesen MRT Titiwangsa ketika dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menerusi kapsyen yang disertakan, individu itu memaklumkan dia terkejut apabila melihat lelaki terbabit membuang air kecil secara terbuka di kawasan stesen.
Rakaman berkenaan pantas menarik perhatian pengguna media sosial dengan mencatat lebih 1.3 juta tontonan dalam tempoh singkat, selain menerima pelbagai komen yang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.
Berdasarkan video itu, lelaki berkenaan dilihat membuang air kecil ketika berada di atas eskalator yang sedang bergerak. Cecair berkenaan turut kelihatan mengalir ke anak tangga eskalator sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna.
Lelaki terbabit juga dipercayai tidak menyedari tindakannya sedang dirakam oleh seorang individu yang berada di belakangnya.
Di ruangan komen, kebanyakan pengguna media sosial melahirkan rasa jijik dan kecewa terhadap perbuatan itu, selain menyifatkannya sebagai tidak menghormati kebersihan kemudahan awam.
Antara komen yang ditinggalkan termasuk persoalan mengapa individu berkenaan tidak menggunakan tandas yang disediakan di stesen MRT, selain ada yang mendakwa pernah menghidu bau kurang menyenangkan di beberapa stesen sebelum ini.
Ramai turut menggesa agar tindakan sewajarnya diambil terhadap individu terbabit bagi memastikan kebersihan dan imej pengangkutan awam sentiasa terpelihara. -KL Broadcast


Leave a Reply