SHAH ALAM – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa projek Laluan LRT3 Shah Alam yang mula beroperasi merupakan hasil kesinambungan usaha beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Baginda menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima cadangan pembinaan laluan rel itu pada 2015 selepas Baginda menyuarakan keperluan menyediakan sistem pengangkutan lebih cekap bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, terutama di Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Baginda, projek berkenaan bagaimanapun mengalami kelewatan selepas pertukaran kerajaan pada 2018 selain berdepan impak pandemik COVID-19. Ada beberapa skop projek telah dikurangkan ketika itu, termasuk pengecilan saiz stesen, pengurangan jumlah gerabak serta pembatalan lima stesen yang dirancang.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan pelaksanaan projek tersebut, termasuk mengembalikan lima stesen yang dibatalkan serta merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar jajaran LRT3 bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam titah perutusannya, Baginda berharap LRT3 mampu mengurangkan kesesakan jalan raya, menyediakan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Lembah Klang.

Baginda turut mengingatkan agar tiada mana-mana pihak mendakwa kejayaan projek itu sebagai hasil usaha mereka semata-mata kerana menurut Baginda, LRT3 direalisasikan melalui kerjasama dan komitmen pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kesejahteraan rakyat Selangor.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading