KULAI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji dan dakwaan yang disifatkan mengelirukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap berkata, pengalaman pilihan raya sebelum ini wajar dijadikan pengajaran kerana terdapat pelbagai janji yang dibuat namun didakwa tidak sepenuhnya ditunaikan.

Menurutnya, pengundi khususnya golongan muda perlu lebih berhati-hati dalam menilai setiap janji yang ditawarkan oleh pihak tertentu.

“Dulu pelbagai janji dibuat untuk mendapatkan sokongan rakyat, termasuk janji berkaitan Tol Simpang Renggam dan penurunan harga minyak. Namun, pengundi boleh menilai sendiri sama ada perkara itu telah dilaksanakan atau tidak.

“Ketika ini, pelbagai isu dibangkitkan termasuk keadaan jalan raya, sedangkan sebahagiannya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Bersama Masyarakat dan Jentera Barisan Nasional (BN) di Dataran Flat Cengal Taman Putri, di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, ramai pengundi khususnya anak muda pulang ke kampung dengan harapan untuk melihat perubahan berdasarkan janji yang ditawarkan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa serta jentera parti dapat memainkan peranan dalam memberi penerangan kepada golongan muda agar tidak mudah dipengaruhi oleh janji politik semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berhubung isu peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang disifatkan tidak berasas.

Katanya, kenyataan tersebut bercanggah dengan fakta sebenar dan dilihat cuba mengelirukan rakyat demi kepentingan politik.

Beliau turut menyeru pengundi di DUN Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai supaya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kebajikan negeri dapat diteruskan.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading