SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan siasatan berhubung satu hantaran tular di media sosial yang didakwa dimuat naik oleh seorang anggotanya kerana dipercayai mengandungi kandungan yang boleh menjejaskan imej pasukan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular di aplikasi Threads itu dan akan menyiasat kesahihannya.
“Kita akan siasat,” katanya ringkas ketika dihubungi Astro Awani, hari ini.
Sebelum ini, tular di Threads beberapa hantaran yang didakwa dimuat naik oleh seorang individu berpakaian seragam Tentera Darat Malaysia dengan kapsyen yang disifatkan mengaibkan serta mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Hantaran tersebut mencetuskan kritikan daripada warganet yang berpandangan kandungan sedemikian boleh mencemarkan imej dan reputasi Angkatan Tentera Malaysia.
Setakat ini, kesahihan identiti individu terbabit serta statusnya sebagai anggota ATM masih dalam siasatan, manakala pihak berkuasa belum mengeluarkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.


Leave a Reply