SEROM – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan sokongan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih dipengaruhi faktor kekecewaan peribadi berbanding keyakinan terhadap parti itu.
Menurut Khairy, Mohd Puad berhak menentukan pendirian politiknya kerana beliau bukan lagi ahli UMNO dan tidak lagi tertakluk kepada disiplin parti.
“Datuk Puad bebas untuk sokong siapa yang dia hendak sokong. Dia bukan lagi ahli UMNO, jadi dia tidak terikat dengan disiplin UMNO. Soal siapa yang dia nak sokong itu hak dia, kita tidak boleh menghalang.
“Mungkin Datuk Puad, walaupun dia bebas untuk menyatakan sokongan kepada sesiapa, dia sokong PH bukan kerana PH, tetapi mungkin kerana kekecewaan peribadi.
“Saya rasa dia sokong PH itu bukan sangat tentang calon, tetapi lebih kepada dia rasa kecewa sebab dia tidak dapat apa yang dia hendak. Just as simple as that. Orang pun faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Barisan Nasional (BN) bersama calon BN DUN Serom, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy menyatakan sokongan penuh kepada calon BN bagi DUN Rengit, Zaidi Japar yang disifatkannya sebagai calon berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
Katanya, beliau mengenali Zaidi sejak sekian lama dan yakin calon itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat sekiranya diberi mandat.
Pada Sabtu lalu, Mohd Puad secara terbuka mengumumkan sokongannya kepada calon PH bagi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.
Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menjelaskan keputusannya dibuat berdasarkan keperibadian calon dan bukannya atas faktor parti.


Leave a Reply