KUALA LUMPUR – Keadaan tren Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) yang dipenuhi penumpang pada hujung minggu mencuri perhatian pengguna media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman menaiki perkhidmatan itu dari Stesen Johan Setia.
Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan memuat naik gambar menunjukkan keadaan di dalam tren yang sesak sehingga menimbulkan rasa kurang selesa, terutama bagi keluarga yang membawa anak kecil.
“LRT3 Johan Setia, penuh sangat. Ramai ibu bapa bawa anak-anak tapi tak selesa. Terlampau padat dalam tren,” katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen, namun kebanyakannya berpendapat keadaan berkenaan sudah dijangka memandangkan orang ramai mengambil peluang menikmati perjalanan percuma sempena pembukaan LRT3, selain meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu.
Seorang pengguna, @Fatihahzainordin berkata, kesesakan penumpang bukanlah isu besar selagi perkhidmatan tren beroperasi dengan lancar dan mengikut jadual.
“Memang kebiasaan hujung minggu orang keluar berjalan-jalan, tambahan pula tambang masih percuma. Yang penting tren sampai mengikut jadual, tiada kelewatan, brek kecemasan atau masalah penghawa dingin,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @Dreamteddy15, berkata situasi sama pernah berlaku ketika perkhidmatan MRT mula diperkenalkan dengan tawaran perjalanan percuma dan menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang normal.
“Masa MRT dibuka dengan perjalanan percuma dahulu pun keadaannya lebih kurang sama. Raikan sahaja apa yang ada,” katanya.
Sementara itu, @Introbird12 berpandangan tren sememangnya dijangka sesak pada hujung minggu kerana ramai ibu bapa membawa anak-anak mencuba perkhidmatan baharu itu.
“Hujung minggu memang penuh dengan keluarga, tambahan pula perjalanan masih percuma. Orang tidak mahu melepaskan peluang untuk berjalan-jalan,” katanya.
Bagi @Acappuad pula, suasana meriah itu mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap LRT3 dan menjangkakan corak penggunaan akan berubah pada hari bekerja.
“Hujung minggu memang masa ibu bapa bawa anak-anak naik LRT. Hari bekerja nanti tren akan lebih dipenuhi golongan yang berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.


Leave a Reply