SHAH ALAM – Dialog PRN Johor anjuran bersama RTM, Astro AWANI dan Sinar Harian akan tetap berlangsung seperti dijadualkan pada 7 Julai, walaupun Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan tidak dapat menghadirinya kerana mempunyai komitmen rasmi yang telah ditetapkan lebih awal.

Pihak penganjur memaklumkan mereka menghormati keputusan itu, namun menegaskan program berkenaan akan diteruskan bagi memberi ruang kepada rakyat mengikuti perbincangan mengenai pelbagai isu semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, lapor Astro Awani.

Menurut penganjur, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan panel lain yang bersesuaian supaya objektif dialog bagi menggalakkan budaya demokrasi yang matang dan perbincangan berasaskan fakta dapat diteruskan.

Terdahulu, wakil kepada Onn Hafiz memaklumkan beliau tidak dapat memenuhi jemputan berkenaan kerana perlu menghadiri program lain yang telah dijadualkan lebih awal. Malah, pihaknya turut mencadangkan agar penganjur mempertimbangkan untuk menjemput calon-calon yang bertanding di DUN Puteri Wangsa bagi memberi tumpuan kepada isu setempat.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, telah mengesahkan penyertaannya selepas menerima jemputan rasmi daripada penganjur.

Dialog selama sejam itu dijadual berlangsung pada 7 Julai, dari 9 malam hingga 10 malam di RTM Johor, Johor Bahru. Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada peserta berkongsi pandangan, dasar dan penyelesaian terhadap isu-isu yang menjadi perhatian rakyat Johor menjelang hari pengundian.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading