KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membina laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 200 meter bagi menghubungkan Stesen Stadium Shah Alam dengan persimpangan lampu isyarat di Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik dalam tempoh sebulan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, MBSA memaklumkan usaha itu dibuat sebagai tindak balas terhadap keperluan orang ramai untuk menikmati rangkaian laluan pejalan kaki yang lebih lengkap selaras dengan operasi Laluan Rel Transit 3 (LRT3).
Bagi laluan yang menghubungkan Persiaran Akuatik ke AEON Mall pula, MBSA berkata proses pelantikan kontraktor sedang dijalankan sebelum kerja menaik taraf laluan berkenaan dimulakan.
Menurut MBSA, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan serta pemaju bagi memastikan pembangunan laluan pejalan kaki di semua stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya dapat direalisasikan secara sistematik dan mengikut perancangan.
Selain itu, pelaksanaan projek berkenaan akan dipantau secara berterusan supaya kemudahan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam.
MBSA turut menegaskan komitmennya untuk mempertingkatkan infrastruktur bandar yang lebih selamat, mesra pejalan kaki dan inklusif demi meningkatkan kesejahteraan penduduk Shah Alam.
Pada masa sama, MBSA memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas orang ramai mengenai kemudahan laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3 dalam kawasan pentadbirannya, termasuk Stesen Dato Menteri, Stadium Shah Alam, Seksyen 7 dan Kerjaya yang mula beroperasi pada Isnin lalu.
Jelas MBSA, penyediaan kemudahan awam yang selamat, selesa dan mudah diakses sentiasa menjadi keutamaan. Sehubungan itu, ketika meluluskan pelan pembangunan stesen-stesen LRT3 pada 2019, syarat pembinaan laluan pejalan kaki telah ditetapkan bagi menghubungkan stesen dengan kawasan tumpuan, pusat komersial serta kemudahan awam berhampiran.
Dalam usaha melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki, MBSA turut mengenakan syarat yang sama kepada beberapa projek pembangunan di kawasan sekitar yang dilaksanakan oleh PKNS, Nexus Pace Sdn. Bhd. dan Starhill Century Sdn. Bhd.


Leave a Reply