JOHOR BAHRU – Pengarah Strategik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi masih memainkan naratif politik “Johor melawan Kerajaan Persekutuan” apabila mengkritik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan, tindakan itu dilihat bertentangan dengan semangat kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Persekutuan ketika ini.
Dalam kenyataannya di laman facebook, Liew berkata pendekatan yang menggalakkan pertelingkahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dielakkan kerana ia tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Beliau turut mendakwa pentadbiran Perdana Menteri ketika ini lebih terbuka dalam memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk bersama-sama merangka dasar dan pembangunan, termasuk dalam pelaksanaan projek strategik.
Menurutnya, idea penubuhan JS-SEZ mula dicetuskan ketika lawatan rasmi Anwar ke Singapura pada Januari 2023, yang kemudiannya berkembang menjadi kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Johor.
Beliau berkata, kejayaan JS-SEZ membuktikan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor dan Singapura mampu memberikan manfaat besar kepada ekonomi negeri.
Sehubungan itu, Liew berpandangan Onn Hafiz sepatutnya mengamalkan pendekatan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, bukannya menimbulkan persepsi seolah-olah kedua-dua pihak saling bertentangan.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kempen BN Johor yang didakwanya sering menyalahkan Kerajaan Persekutuan terhadap projek-projek yang masih dalam pembinaan, namun mengambil kredit terhadap projek yang telah siap.
Liew berkata, hakikatnya kebanyakan projek pembangunan utama di Johor merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Beliau turut mendakwa jika Onn Hafiz merasakan sukar untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar, maka rakyat Johor wajar mempertimbangkan untuk memilih calon-calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri bagi membentuk kerajaan negeri yang mampu menjalinkan kerjasama penuh dengan Kerajaan Persekutuan.
Kenyataan itu merupakan intipati ucapan Liew ketika menghadiri Karnival Harapan Johor Jaya pada Sabtu lalu.


Leave a Reply