KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengemukakan sepucuk surat yang mencadangkan pelantikan 54 kontraktor untuk melaksanakan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa menerusi kaedah rundingan terus.

Menurut Tengku Zafrul, surat bertarikh 13 November 2020 itu bertajuk Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina), lapor Astro Awani.

Beliau berkata tarikh surat tersebut bertepatan dengan hari Memorandum Jemaah Menteri berkaitan Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Ketika membacakan kenyataan saksinya dalam perbicaraan kes membabitkan Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, Tengku Zafrul mengesahkan kedua-dua dokumen itu bertarikh sama.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata, surat berkenaan sememangnya dikeluarkan oleh Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu kerana dokumen tersebut mengandungi tandatangan beliau pada muka surat ketiga serta arahan supaya Kementerian Kewangan mempertimbangkan cadangan itu dengan kadar segera.

“Saya mengenali tandatangan tersebut kerana sepanjang bertugas saya sering menerima surat dan minit daripada Tan Sri Muhyiddin. Jika surat bertarikh 13 November 2020 itu tidak diterima, saya tidak akan mengambil sebarang tindakan susulan,” katanya di mahkamah.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading