KUALA LUMPUR – Pelabuhan Klang mengekalkan statusnya sebagai antara 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia selepas mengendalikan 15.14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) sepanjang 2025, sekali gus mencatat pencapaian itu untuk tahun kedua berturut-turut.

Pada masa sama, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) turut mencipta sejarah apabila menjadi terminal kontena tunggal pertama di negara ini yang berjaya melepasi pengendalian 14 juta TEU dengan merekodkan 14.03 juta TEU.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata prestasi memberangsangkan kedua-dua pelabuhan itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan 33.07 juta TEU yang dikendalikan oleh pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara pada tahun lalu.

Menurutnya, prestasi sektor pelabuhan negara terus menunjukkan momentum positif apabila Pelabuhan Klang merekodkan pertumbuhan lima peratus bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala PTP mencatat peningkatan lapan peratus.

“Pencapaian ini membuktikan pelaburan berterusan dalam infrastruktur pelabuhan, pemodenan kemudahan serta dasar pengangkutan yang progresif berjaya meningkatkan daya saing Malaysia sebagai hab maritim serantau,” katanya ketika merasmikan ASEAN Ports and Logistics 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut didorong oleh kerjasama erat antara kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan, pengendali terminal, syarikat perkapalan dan pemain industri logistik dalam memperkukuh ekosistem rantaian bekalan negara.

Anthony berkata, pelabuhan kekal sebagai nadi perdagangan Malaysia memandangkan lebih 90 peratus urusan perdagangan antarabangsa negara bergantung kepada pengangkutan laut.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memastikan Selat Melaka sebagai antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia kekal selamat, cekap dan terbuka bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa.

“Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan laluan perkapalan ini demi menyokong pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global,” katanya.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading