KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor gagal memperoleh jumlah undi minimum bagi mengekalkan deposit pilihan raya.
Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, analisis awal berdasarkan Borang 14 serta keputusan tidak rasmi yang diterima setakat ini menunjukkan calon-calon Bersama hanya meraih antara tiga hingga enam peratus undi secara purata di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Menurut beliau, keputusan itu bukan sahaja menyebabkan semua calon parti berkenaan hilang deposit, malah sasaran awal untuk memperoleh sekurang-kurangnya 15 peratus undi juga tidak berjaya dicapai.
“Ini bermakna semua calon Bersama hilang deposit kerana gagal mencapai undi minimum 12.5 peratus.
“Ia juga tidak memenuhi sasaran parti untuk melepasi 15 peratus undi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata analisis awal turut mendapati berlaku peralihan sokongan yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) merentasi pelbagai kelompok pengundi tanpa mengira umur dan kaum.
Katanya, trend tersebut memberi kesan kepada semua parti yang bertanding termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Bersama dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Sehubungan itu, beliau berkata Bersama akan meneliti keputusan pengundian secara lebih terperinci bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi prestasi parti serta menambah baik strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam masa sama, Rafizi merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada calon-calon Bersama serta mengucapkan terima kasih kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang bertungkus-lumus sepanjang kempen PRN Johor.
Beliau turut memaklumkan satu majlis penghargaan akan diadakan di ibu pejabat baharu parti itu dalam tempoh terdekat sebaik sahaja kemudahan berkenaan siap digunakan.
“Walaupun keputusan PRN Johor tidak memihak kepada Bersama, pengalaman sepanjang kempen akan menjadi bekalan penting dalam membina parti yang baharu berusia 52 hari ini.
“Insya-Allah, kami akan terus berusaha dan berharap rakyat Malaysia akan membuka ruang untuk menerima Bersama pada masa hadapan,” katanya.


Leave a Reply