JOHOR BAHRU – MCA menzahirkan sokongan penuh kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk terus memimpin pentadbiran negeri selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus memastikan Agenda Maju Johor 2030 diteruskan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kejayaan BN menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 40 kepada 48 membuktikan rakyat terus memberikan kepercayaan terhadap kepimpinan Onn Hafiz serta dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Menurut beliau, prestasi pentadbiran Onn Hafiz termasuk kejayaan menggerakkan pelan transformasi ekonomi Johor menjadi antara faktor utama yang meyakinkan pengundi untuk terus memberi mandat kepada BN.
“MCA akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Onn Hafiz bagi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan Agenda Maju Johor 2030 dapat dilaksanakan seperti yang dirancang demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini, malam tadi.
Ka Siong berkata, sepanjang tempoh berkempen, BN berdepan pelbagai kritikan, fitnah dan tuduhan daripada pihak lawan, namun semua isu berjaya dijelaskan dengan baik sehingga pengundi terus menaruh keyakinan kepada gabungan itu.
Menyentuh pencapaian MCA, beliau berkata parti berkenaan berjaya memenangi lapan daripada 15 kerusi yang ditandingi, sekali gus menggandakan prestasi berbanding hanya empat kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022.
Katanya, empat penyandang MCA bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi masing-masing, malah meningkatkan majoriti kemenangan sebagai bukti khidmat mereka terus mendapat sokongan pengundi.
Selain itu, MCA turut merampas kerusi Tangkak dan Pemanis serta mencatat kemenangan di Johor Jaya selepas menukar kekalahan pada pilihan raya lalu kepada kemenangan dengan majoriti melebihi 6,000 undi.
Beliau berkata, beberapa kerusi lain turut dimenangi dengan majoriti antara 10,000 hingga 12,000 undi, sekali gus memperlihatkan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan BN semakin kukuh pada PRN kali ini.


Leave a Reply