KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskannya daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau berkata keputusan itu bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya, sebaliknya membuktikan bahawa kebenaran perlu dipertahankan walaupun terpaksa membayar harga yang tinggi.
Menurutnya, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses mahkamah, beliau tidak pernah melarikan diri, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.
Syed Saddiq berkata, beliau percaya Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup mempertahankan prinsip walaupun terpaksa kehilangan kedudukan, dan bukannya mengorbankan prinsip demi jawatan.
Beliau turut mengakui perjalanan kes itu hampir merampas masa, nama baik serta masa depannya, namun tidak pernah menghilangkan keyakinannya terhadap negara.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya, keluarga, tunang, pasukan peguam, rakan-rakan, rakyat Muar serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan dan doa.
Syed Saddiq menegaskan beliau tidak keluar dari mahkamah dengan perasaan dendam, sebaliknya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, sejurus selesai prosiding mahkamah, beliau akan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen dengan menghadiri sidang Parlimen kerana perjuangannya tidak pernah hanya mengenai dirinya, sebaliknya sentiasa mengutamakan Malaysia.


Leave a Reply