MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan usaha rundingan yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan DAP Melaka menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri tidak dapat diteruskan kerana surat peletakan jawatan rasmi telah diterima.
Menurut beliau, keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menyerahkan surat berkenaan sejurus selesai sidang akhbar mengumumkan keputusan mereka melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri.
Katanya, penerimaan surat rasmi itu menjadikan keputusan tersebut muktamad sekali gus menutup ruang untuk sebarang rundingan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri.
“Sebaik sahaja sidang media selesai, mereka terus menyerahkan surat peletakan jawatan. Sebab itu kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri turut berubah kerana kerajaan negeri telah menerima pengunduran rasmi mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.
Mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengenai mesyuarat yang dijadualkan esok bagi membincangkan hala tuju kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Ab. Rauf berkata kerajaan negeri memilih untuk menunggu keputusan yang bakal dicapai.
Beliau berkata, kerajaan menghormati sebarang keputusan yang akan dibuat PH, namun menegaskan DAP telah secara rasmi mengumumkan penarikan diri daripada pentadbiran negeri.
“Mereka sudah mengumumkan keluar daripada kerajaan dan kita sudah menerima surat rasmi. Sama ada ada perubahan selepas ini, itu terserah kepada PH,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri menerima surat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan parti itu tidak bersetuju dengan tindakan diambil DAP Melaka.


Leave a Reply