KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan akan bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak lagi dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN).
Menerusi kenyataan media yang ditandatangani Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu mendakwa Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 12 Julai lalu ditangguhkan selepas PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).
Menurut BERSATU, keputusan berhubung kerjasama politik sepatutnya dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN kerana ia melibatkan dasar serta hala tuju gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, BERSATU mendakwa sehingga kini Majlis Tertinggi PN masih belum dipanggil bermesyuarat, manakala mesyuarat rundingan kerusi turut ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
Parti itu turut menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan PAS yang dikatakan mengadakan rundingan dengan BN tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN serta tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan tersebut.
Selain itu, BERSATU mendakwa beberapa kenyataan pimpinan PAS yang dilihat memberi kelebihan kepada BN pada PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN serta bercanggah dengan kepentingan gabungan berkenaan.
Sehubungan itu, BERSATU memutuskan untuk meletakkan calon-calonnya sendiri pada PRN Negeri Sembilan dengan menggunakan simbol parti.
Dalam masa sama, parti itu memaklumkan Presiden BERSATU diberi mandat untuk mempertimbangkan permohonan parti-parti lain yang berhasrat menggunakan simbol BERSATU pada pilihan raya berkenaan.
BERSATU turut mendakwa PN yang dipimpin PAS telah menyimpang daripada matlamat asal gabungan itu, khususnya dalam mempertahankan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Menurut kenyataan itu, BERSATU akan terus berpegang kepada pendekatan sederhana dan progresif serta komited memperjuangkan dasar yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Muhyiddin turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan sokongan kepada calon-calon BERSATU pada PRN akan datang.


Leave a Reply