KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan tarikh pernikahannya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah telah dipersetujui kedua-dua keluarga, namun belum bersedia untuk diumumkan kepada umum.
Menurut Syed Saddiq, hanya ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, adik-beradik serta Bella mengetahui tarikh majlis berkenaan buat masa ini.
Beliau berkata, keputusan untuk merahsiakan tarikh itu dibuat bagi memberi ruang kepada keluarga dan kenalan rapat dimaklumkan terlebih dahulu.
Selain itu, majlis resepsi dijangka diadakan di beberapa lokasi termasuk Sabah dan Johor bagi meraikan kedua-dua belah keluarga.
Perkara itu dikongsikan ketika muncul dalam program audio siar BASScast yang dikendalikan bersama tunangnya, Bella, malam tadi.
Syed Saddiq berkata, persiapan perkahwinan hanya mula dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan membebaskannya daripada pertuduhan, Isnin lalu.
“Sebelum ini kami tidak berani membuat sebarang perancangan selagi keputusan mahkamah belum diputuskan.
“Malah, ada pihak stesen televisyen bertanya bila perbincangan boleh dimulakan, tetapi kami terpaksa menangguhkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, antara sebab utama beliau memilih Bella sebagai pasangan hidup ialah kerana penyanyi itu sentiasa berada di sisinya ketika melalui pelbagai cabaran.
Katanya, kenangan yang paling sukar dilupakan adalah ketika mereka menjalankan tugasan bersama di Semporna, Sabah.
“Saya dapat melihat sendiri etika kerja Bella yang sangat komited. Walaupun sibuk sebagai artis, dia tetap mengutamakan tanggungjawab sebagai kakak, ibu dan anak.
“Bella juga sentiasa memikirkan cara untuk membantu masyarakat. Sikap itulah yang membuatkan saya semakin menghargai dirinya,” katanya.
Sementara itu, Bella mengakui cabaran terbesar dalam hubungan mereka ialah membahagikan masa memandangkan jadual kerja masing-masing yang padat.


Leave a Reply