KUALA PILAH – DAP menegaskan komitmennya untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan serta institusi Undang Yang Empat di Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, semua ahli, petugas dan penyokong parti diingatkan supaya menjaga tutur kata serta tidak mengeluarkan kenyataan atau bergurau mengenai sistem adat yang diamalkan di negeri itu.

Beliau menegaskan parti tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahli yang didapati mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai tidak menghormati institusi berkenaan.

“Kita mengangkat sistem Undang Yang Empat dan menghormati sistem itu.

“Saya ingin mengingatkan semua rakan, petugas dan ahli supaya menjaga percakapan. Jangan berseloroh atau berjenaka mengenai sistem adat di Negeri Sembilan.

“Perkara ini saya tidak akan terima dan tidak akan maafkan. Jika ada ahli yang tersalah cakap, kita akan memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah, hari ini.

Pada majlis sama, Loke turut diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Menteri Pengangkutan itu merupakan penyandang kerusi DUN Chennah selepas memenanginya pada PRN lalu dengan majoriti 2,200 undi.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading