KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli diumumkan sebagai pengacara baharu program hiburan Melodi, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai individu yang bakal menggantikan Fikry Ibrahim.

Kamal akan bergandingan bersama Ain Edruce bagi mengemudi program itu yang kini tampil dengan pembaharuan menyeluruh termasuk konsep, identiti visual serta kandungan lebih segar.

Dikenali menerusi personaliti yang bersahaja dan spontan, Kamal optimis mampu memberikan kelainan kepada Melodi serta menghiburkan penonton menerusi gandingan bersama Ain.

Menurut Kamal, peluang yang diberikan oleh TV3 dan Media Prima merupakan satu penghargaan besar buat dirinya dan beliau berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam mengendalikan program tersebut.

“Saya berterima kasih kepada TV3 dan Media Prima kerana memberi kepercayaan kepada saya. Saya juga gembira dapat kembali bekerjasama dengan Ain kerana kami sudah beberapa kali digandingkan sebelum ini.

“Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik dan menyumbang apa sahaja yang mampu untuk memastikan Melodi terus diminati penonton,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Terhangat Melodi di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Sementara itu, Ain berkata, dia tidak sabar untuk kembali bergandingan dengan Kamal kerana percaya mereka memiliki keserasian yang baik hasil pengalaman bekerjasama dalam beberapa projek terdahulu.

“Saya memang teruja dapat bekerja dengan Kamal semula. Kami sudah saling mengenali cara kerja masing-masing, jadi saya yakin gandingan ini mampu memberikan sesuatu yang menarik kepada penonton,” katanya.

Melodi kini memasuki era baharu dengan siaran secara langsung pada setiap Khamis, jam 9 malam di TV3, selain boleh distrim menerusi platform Tonton.

Selain membawakan gosip dan perkembangan selebriti tempatan, program itu turut memperluaskan kandungannya dengan laporan berkaitan filem, drama, muzik, fesyen, gaya hidup serta pelbagai isu semasa dalam industri hiburan.

Sebagai nilai tambah, Melodi turut memperkenalkan segmen baharu, Muzik-Muzik 41 yang memaparkan perkembangan carta lagu tempatan setiap minggu serta membuka ruang kepada peminat untuk terlibat dalam proses pengundian menuju Anugerah Juara Lagu (AJL).

Dalam perkembangan sama, Hot FM dipilih sebagai rakan radio rasmi Muzik-Muzik 41 menerusi segmen Carta Juara Lagu yang akan bersiaran setiap Ahad dari jam 8 malam hingga 10 malam.

Terdahulu, Fikry Ibrahim mengendalikan Melodi sejak 2024 sebelum mengakhiri tugasnya pada 10 Julai lalu, manakala Ain Edruce kekal sebagai pengacara program itu sejak 2022.

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading