KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan pendirian Barisan Nasional (BN) yang didakwa menjalin kerjasama pilihan raya dengan PAS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menyifatkan langkah itu bercanggah dengan prinsip yang selama ini diperjuangkan parti. 

Menerusi satu hantaran di Facebook, Saw berkata beliau sebelum ini berulang kali turun berkempen pada PRN Johor dengan memberi jaminan kepada pengundi bahawa BN tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan PAS. Namun, perkembangan terbaharu di Negeri Sembilan menimbulkan tanggapan bahawa kerjasama tersebut kini hampir menjadi kenyataan. 

Beliau turut mempersoalkan sama ada kepimpinan tertinggi MCA termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta Majlis Presiden parti telah memberikan persetujuan terhadap kerjasama berkenaan.

Saw turut membangkitkan persoalan sama ada prinsip sekularisme dan demokrasi yang sekian lama dipertahankan MCA kini telah diketepikan demi kepentingan politik, selain bertanya sejauh mana parti sanggup berkompromi semata-mata untuk meraih kemenangan pilihan raya. 

Menurutnya, jika tindakan itu diteruskan, MCA tidak lagi mempunyai perbezaan dengan parti-parti lain yang pernah dikritik kerana mengorbankan prinsip perjuangan demi kuasa politik.

Terdahulu, BN mengumumkan hanya akan meletakkan calon di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan spekulasi wujud persefahaman dengan parti lain untuk berdepan Pakatan Harapan (PH).

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading