SUNGAI BULOH – Helah sindiket penyelewengan diesel yang menggunakan individu berbeza pada setiap peringkat penghantaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur pada Rabu.
Serbuan di sebuah stor penyimpanan diesel haram di sini mendedahkan modus operandi sindiket yang dipercayai mendapatkan bekalan diesel daripada beberapa stesen minyak di sekitar Lembah Klang sebelum mengumpulkannya di premis berkenaan untuk diagihkan kepada pelanggan industri di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, sindiket berkenaan menggunakan individu yang berbeza bagi setiap peringkat penghantaran sebagai helah untuk menyukarkan siasatan pihak berkuasa.
“Proses bermula apabila seorang individu mengisi diesel di stesen minyak sebelum meninggalkan kenderaan bersama kuncinya untuk diambil oleh individu lain.
“Kenderaan itu kemudian dibawa ke stor bagi memindahkan diesel sebelum seorang lagi individu menghantarnya ke lokasi tertentu. Diesel tersebut akhirnya dihantar kepada pelanggan industri oleh individu yang berbeza,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 30 hingga 40-an.
Menurutnya, seorang daripada suspek ialah warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pemandu lori, manakala dua lagi merupakan warga Bangladesh yang menjaga stor berkenaan.
Siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit menerima bayaran RM100 bagi setiap perjalanan dengan melakukan dua perjalanan sehari selama lima hari seminggu.
Dalam serbuan itu, KPDN merampas sebuah lori tangki, dua lori bonded satu tan, tujuh tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), tujuh hos dan paip, dua pam diesel serta 9,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM265,000.
Mohd Sabri berkata, siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti dalang utama serta rangkaian sindiket yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


Leave a Reply