EAST RUTHERFORD – Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam aksi final yang berlangsung di Stadium New York New Jersey pada Ahad.

Gol tunggal kemenangan dijaringkan Ferran Torres pada minit ke-106, sekali gus menghadiahkan kejuaraan dunia kedua buat skuad La Roja selepas kali pertama menjulang trofi berprestij itu pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

Kejayaan tersebut turut menamatkan impian Argentina untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada Piala Dunia 2022, selain menggagalkan hasrat Lionel Messi menutup penampilan di pentas Piala Dunia dengan satu lagi kejuaraan.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 90 minit permainan apabila aksi berlangsung sengit dengan kedua-dua benteng pertahanan tampil disiplin.

Sepanyol akhirnya memperoleh gol yang dicari pada babak kedua masa tambahan apabila Nico Williams melakukan gerakan menarik sebelum menyediakan hantaran kepada Torres untuk disudahkan menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Sepanjang perlawanan, Sepanyol lebih banyak menguasai permainan dan mencipta peluang, namun Martinez beberapa kali menyelamatkan gawang Argentina daripada dibolosi dengan aksi cemerlangnya.

Argentina pula terpaksa mengharungi penghujung perlawanan dengan 10 pemain selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah akibat mengutip kad kuning kedua.

Skuad kendalian Luis de la Fuente menampilkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan apabila menamatkan kempen tanpa sebarang kekalahan dan hanya dibolosi sekali.

Perlawanan akhir itu turut mencuri perhatian apabila menampilkan persembahan hiburan separuh masa yang julung kali diperkenalkan dalam sejarah Piala Dunia, dengan penampilan beberapa artis antarabangsa terkenal.

-Agensi

Leave a Reply

Penafian Tanggungjawab

Sebagai sebuah organisasi media, kami menghormati kepelbagaian pandangan. Namun, semua komen yang disiarkan di laman ini adalah tanggungjawab masing-masing dan tidak mencerminkan pendirian atau tanggungjawab kami.

© 2026 KL Broadcast All Rights Reserved.

Discover more from KL BROADCAST

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading